Siapa Ulin Nuha

Detik-detik awal Ulin Nuha di NICU

Assalamualaykum.

Nama yang mama dan waled setuju untuk saya adalah Ulin Nuha. Inspirasi dari surah-surah (surah Taha & AnNahl) dalam al-Quran yang menyebut berkenaan Ulin Nuha (orang yang mempunyai kepandaian/kebijaksanaan). Nama ni Pak su yang cadangkan, mama dengar terus berkenan dan setuju, ya secara tak langsung doa untuk Nuha, semoga Nuha bukan sahaja bijak secara dasar tapi juga bijak mentafsir dan merenung alam ciptaan Allah :)

Sebenarnya seawal usia 32 minggu doktor sudah mengesan ada sedikit kelainan dengan Nuha. Saiz kepala Nuha sedikit lari dari kebiasaan, mama sempat jeling doktor google perkataan "microcephaly" dan bila mama balik google, apa itu microcephaly dada mama rasa sempit sangat. Berhari-hari mama menangis di sejadah, mohon dikuatkan. Hanya Allah faham perasaan mama waktu tu. Waled macam biasa kelihatan kuat dan positif depan mama, apa lagi nak menangis, tapi mama tahu waled nak mama kuat dan positif juga.

Doc jalankan Ujian demi ujian untuk kenal pasti punca adakah kerana virus menyebabkan keadaan Nuha tapi semua ujian virus -ve, bermaksud memang tiada jangkitan virus, sehingga seorang doktor pakar sebut pada mama, "Maybe this is your part, Puan." Waktu tu mama hanya mampu berdoa dan berdoa, terus bersangka baik kepada Sang Pencipta.

Sampai detik 7 Julai 2015, Nuha bersedia keluar melihat dunia, sangat mudah Nuha yang kuat keluar sendiri dari rahim mama, alhamdulillah tak sampai setengah jam mama di dalam bilik bersalin. Berat Nuha, 2.82kg masa keluar, kecil sangat bagi mama tapi bila dengar tangisan Nuha, mama sangat lega, sejurus selepas sesi 'skin to skin', nurse bawa Nuha ke bilik lain untuk dibersihkan. Lebih kurang dua jam selepas tu, nurse bawa Nuha dan beritahu Nuha terpaksa di tahan di NICU sebab doktor nak pantau. Mama minta untuk susukan Nuha sebentar sebab mama tahu titisan pertama ini sangat penting untuk Nuha, alhamdulillah Nuha pandai sangat menyusu, mama lega.

Lima hari Nuha di NICU, hari ke dua mama melawat Nuha. Mama lihat tag pada katil Nuha, tertulis "syndromic child", sekali lagi mama rasa macam dunia kejam sangat, rasa down, balik rumah menangis dan menangis. Sedih, kasihan, rasa bersalah dan macam-macam lagi. Tapi mama kuatkan hati, mama renung wajah Nuha dengan tiub disambungkan ke dalam mulut, doktor cakap Nuha muntah bila diberi susu, terpaksa drip air, kesiannya tengok tangan halus Nuha ada cucukan jarum. Mama cakap pada doktor, mama nak susukan Nuha, mungkin dia muntah sebab susu formula tu terlalu berat untuk perut dia. Doktor setuju dan cadangkan mama untuk "room in" supaya boleh susukan Nuha dengan kerap. Doktor cakap kalau Nuha dah tak muntah, cepat boleh discharge nanti.

Mama tidur di hospital dan susukan Nuha setiap 2-3 jam. Alhamdulillah, Nuha tak muntah dan dia sangat pandai menyusu. Hari ke-5 mama jumpa doktor dan minta untuk bawa pulang Nuha, tapi doktor macam sedikit enggan sebab nanti nak buat ultrasound di otaknya. Mama bertegas nak bawak balik dan janji akan datang untuk ultrasound nanti. Akhirnya doktor setuju. Dalam follow up demi follow up, doktor beritahu, development Nuha mungkin akan lambat daripada kanak-kanak biasa kerana otak dan saraf sangat berkaitan. Waktu tu mama sangkal cakap doc, mama cakap Nuha boleh berkembang macam kanak-kanak biasa. Mama dan Waled macam nak je keluar dari bilik doktor, nak tekup telinga tak mahu lagi dengar apa2 dari doktor. Sebab setiap perkataan macam pisau yang menghiris hati, pedih!

Masa Nuha discharge, mama pangku Nuha dan dalam kereta mama dah tak larat nak tahan air mata depan waled, keluar laju macam air terjun, teresak2 macam anak kecil. Waled senyum je, usap2 tangan mama, belakang mama, sambil cakap, "Menangislah sayang, tapi kena ingat, apa yang Allah rancang mesti ada hikmahnya, nanti kita sama-sama cari." Thanks to waled yang sangat positif, yang selalu jadi bahu untuk mama menangis kumpul kekuatan sampai ke hari ini Waled tak pernah tunjuk air matanya depan mama kalau berkenaan Nuha.

Hari ini kalau orang tanya kenapa Nuha? Mama dah tak menangis macam awal-awal dulu, mama bukan tak redha apa lagi membentak dengan takdir Allah, cuma hati ini perlu menangis sepuasnya sebelum betul-betul kuat. Mama tahu, Allah sedang buka pintu-pintu ilmu dan rezeki baru untuk mama dan waled melalui Nuha, alhamdulillah fi kulli hal.

Nuha diberi tarikh appointment untuk MRI dan seterusnya. Nuha sihat, dia OK, cuma Nuha perlukan sokongan dan dorongan untuk rawatan saraf dan otaknya, tak mustahil untuk Nuha berkembang seperti kanak-kanak lain, mama positif inshaallah. Development dia memang agak delayed berbanding bayi seusia, tapi dia BOLEH dan AKAN berkembang maju, inshaallah.

Maka. Bermulalah kisah kembara perjalanan dia yang bernama Ulin Nuha, bersama mama, waled dan kakak Haura ^^,

Diagnosis awal : Microcephaly with developmental delay
Ulin Nuha kesayangan kami :)

No comments:

Post a Comment