Monday, 14 December 2015

Bila Nuha Ketawa


Sesuatu yang MAHAL kita mesti akan hargai kan?

Macam senyum dan ketawa Nuha yang mahal, sangat-sangat berharga buat mama, waled dan kakak Haura'. Bila Nuha ketawa walaupun dengar hujung-hujung saja, terngiang-ngiang suara Nuha ketawa, kakak Haura bukan main suka lagi, mama dan waled pun teruja sangat. Rakam video sampai orang cakap dengar suara Waled je ketawa suara Nuha tak dengar pun, hihiii.

Senyum yang dirindu selalu :)

Mama rasa Nuha dah boleh nampak sikit-sikit sebab tu sekarang Nuha susah nak tidur, mata asyik pandang sekeliling, baru nampak indah dunia ciptaan Allah. Banyak lagi sayang, nanti kita explore sama-sama ye.

Nuha, tahu tak kehadiran Nuha bakal membuka pintu-pintu rezeki dan ilmu yang mama tak rasa sebelum ni, Alhamdulillah wa syukurillah.

Sayang Nuha selalu,
Mama

Saturday, 12 December 2015

Mimpi Ulin Nuha 2


Akhirnya berlayar jua.
.
Nuha sambung mimpi-mimpi Nuha ya? Di sana Nuha ketemu kepingan-kepingan doa dan harapan mama dan waled yang Allah pegang.
.
Patutlah Nuha rindu nak mimpi selalu, teruja dengan sambungan-sambungan episod DOA dan harapan mama yang tak pernah putus dan padam, yang tak pernah sirna dan diam, yang selalu hidup walau dipendam.
.

Tuesday, 8 December 2015

Mimpi Ulin Nuha 1


Mama, 
Pernahkah sehari berlalu tanpa mama fikirkan Nuha?
Pernahkah satu hari berlalu tanpa mama kasihankan Nuha?
Pernahkah satu hari berlalu tanpa mama risaukan Nuha?
Impian-impian dan harapan mama buat Nuha, percayalah Allah pegang setiap satunya. Dalam mimpi-mimpi Nuha, Nuha melihat semua DOA dan harapan mama satu persatu Allah makbulkan, semua mama tiada satu pun tercicir.
Usah risau mama, senyumlah selalu. Berehatlah sebentar dari lelah fikirmu. Nuha mahu sambung mimpi-mimpi Nuha yang indah. Mimpi-mimpi yang Nuha tunggu setiap hari, mimpi yang menyambung setiap doa dan harapan mama. 
Begitu tulus doa dan harapan mama, semuanya kebaikan demi kebaikan untuk Nuha, sungguh Allah mendengar mama, Dia tak pernah lupa pada setiap doa. Kalau mungkin tidak di dunia, di akhirat nanti mama bakal lihat semua doa mama yang Allah simpan elok tiada tertinggal walau satu perkataan. Dan antara dunia dan akhirat mana yang lebih baik dan kekal mama?
Nuha nampak semua di mata mama, kasih sayang, empati dan cinta, Nuha rasa hangat pelukan mama yang setiap kali itu mama alirkan sebuah perasaan yang mendamaikan meresap terus ke hati dan jiwa. Allah memilih mama untuk Nuha, kerana ilmuNya yang tak terbatas melangkaui segala-galanya. 
Usah terlalu galau mama, Allah punya perancangan Maha hebat untuk mama, waled, kakak Haura' dan semua di sekeliling yang menyayangi Nuha. 

..........

Di Usia Ulin Nuha 154 Hari


Di usiamu 154 hari,

Mama mampu tersenyum gembira, bahagia memandang Nuha yang suka dipegang, yang belum ketawa, yang tiada sepatah kata keluar dari bibirmu, belum meniarap dan akan menangis jika dibiar berbaring, hanya senyuman yang kadang-kadang Nuha hadiahkan dan itu sudah cukup buat seisi rumah berbahagia.

Sumpah!

Senyum Nuha buat kakak Haura melompat girang, mama dan waled tertawa bahagia, tapi itu tak bermaksud ketika Nuha tak mampu tersenyum kami tidak berbahagia dengan keberadaan Nuha. Ahli syurga, kekasih dan amanah Allah sedang berada di kalangan kami, adakah patut kami berasa sedih? Kami bertuah terpilih dipinjamkan mu Ulin Nuha.

Kalau pun mama menangis ketika merenungmu, bukan sesal yang membuahkan air mata itu, tapi sebuah syukur kerana seorang ahli syurga dalam pelukan mama. Sebuah perasaan yang mama tak mampu ungkapkan. Perasaan yang Allah titipkan bersama-sama kehadiranmu. Banyak terlalu banyak hakikat demi hakikat yang mama belajar semenjak Nuha hadir dalam hidup mama.

Lima bulan usiamu bermaksud lima bulan yang penuh tarbiah dari Allah buat mama yang kurang amal, yang banyak dosa, yang selalu alpa dan leka. Semalam mama bisikkan di telinga Nuha :

"Nuha dah 5 bulan esok, alhamdulillah. Mama mungkin bukan mama yang terbaik tapi mama cuba yang terbaik untuk Nuha. Maafkan mama kalau mama banyak kekurangan. Mama ni banyak dosa, amalan pun sikit, mungkin mama teman Nuha di dunia, tapi di akhirat mama tak tahu nasib mama. Nanti Nuha di syurga jangan lupakan mama, waled, kakak Haura' dan semua yang sayangkan Nuha ye. I love you so much."
Pleaseee. Jangan lupakan kami ye sayang :)


Kakak Haura yang selalu sayangkan Nuha :)
P/S : There are too many, so many things that I learnt the moment I have you both in my arms. I couldn't even describe it with words.  Alhamdulillah, Subhanallah, Allahuakbar. La haw la wala quwwata illa billah

Monday, 7 December 2015

Permulaan Mimpi Ulin Nuha


Mama tahu,

Mimpi-mimpi Ulin Nuha pasti indah nian sampai Nuha rindu nak mimpi lagi, sampai Nuha tidur berlama-lamaan, menunda lapar perut mu, berlengahan membuka mata. Sampai-sampai terkadang mama terpaksa merenggut mimpimu kerana kasihankan perutmu yang lapar. 

Entah apa Kekasih Abadi titipkan dalam mimpi-mimpi mu sayang, apa dalam mimpi itu kau dihias cantik persis bidadari, berwajah sempurna dengan senyum bersinar dan tak sabar mahu sertai teman-teman bermain di taman-taman syurga. 

Ah! Bertuahnya kau sayang, mama cemburu!